Thursday, July 5, 2012

#218








Sebelum masuknya Ramadhan, datang terlebih dahulu Sya’ban. Ramai yang memfokuskan dirinya kepada amalan-amalan kala Ramadhan, seperti Solat Tarawih, membaca Al-Quran dengan banyak, berpuasa sepanjang siang selama 30 hari, bersedekah dengan banyak, menjauhi kejahatan dan kemungkaran. Namun ramai tidak mengetahui bagaimana hendak mensinergikan Sya’ban dan Ramadhan, dalam mencapai Ramadhan yang lebih berkualiti.
Jika seseorang yang mahu memasuki acara larian 10KM, bermula berlari hanyalah pada hari pertandingan tersebut, apakah yang akan terjadi kepadanya?
Penat. Pancit. Tewas. Tidak dapat menghabiskan larian.
Dia sepatutnya berlatih lebih awal, mempersiapkan diri, mempertingkatkan stamina. Itu sepatutnya. Begitulah Ramadhan.


Rasulullah SAW yang Telah Menunjukkan Contoh.
Aisyah RH berkata: “Rasulullah SAW berpuasa hingga kami menyangkakan baginda tidak akan berbuka, dan baginda berbuka sehingga kami menyangkakan baginda tidak mahu berpuasa. Aku sama sekali tidak melihat Rasulullah SAW menyempurnakan puasa sebulan melainkan pada bulan Ramadhan, dan aku tidak pernah melihatnya lebih banyak berpuasa(pada bulan selain Ramadhan) melainkan Sya’ban.” Hadith Riwayat Bukhari.

Sya’ban, Latihan Penuh Kesungguhan.
Maka di dalam Sya’ban kita latih diri kita. Berpuasa banyak, agar berpuasa kala Ramadhan tidak menjadi sukar buat kita. Mula menambah amalan, agar amalan yang berganda dalam Ramadhan tidak menjadi berat buat kita.
Di sini, kita nanti akan ‘terbiasa’, maka di dalam Ramadhan kita hendak mempertingkatkan kebaikan-kebaikan kita, bukan lagi menjadi satu kesukaran buat jiwa.
Sudah kita susun di dalam Sya’ban ini jadual amalan, dan sudah mula kita aturkan langkah meninggalkan keburukan-keburukan. Mulut yang celupar, sikap yang suka mengumpat dan mengeji, perbuatan yang tidak senonoh, semuanya kita usahakan untuk ditinggalkan.
Sya’ban sepatutnya diisi sedemikian.
Agar kita dapat menggapai Ramadhan dengan penuh keimanan.

Penutup: Maka Jangan Biarkan Sya’ban Berlalu Begitu Sahaja.
Kita nak berlari 10KM, dan ada masa sekitar sebulan lagi. Tetapi kita tidak menggunakan sebulan itu untuk berlatih dan memperkuatkan diri, agar kita boleh berlari dengan yakin, kuat, pantas pada acara itu nanti. Maka pada hari larian, awalnya kta berlari dengan pantas. Di pertengahannya pancit kepenatan.
Inilah dia keadaannya Ramadhan kita nanti, sekiranya kita tidak berusaha semenjak Sya’ban ini.
Separuh Ramadhan, kita sudah kebosanan dan keletihan. Kita mula mencari keseronokan lain seperti menghabiskan masa menonton drama, juga sibuk menghias rumah secara berlebihan hingga meninggalkan agenda utama Ramadhan – mempertingkatkan kualiti hati dan diri.
Rasulullah SAW bersabda: “Barangsiapa yang mendirikan Ramadhan dengan penuh keimanan dan berkira-kira(untuk memperhebatkan lagi amalannya), maka akan diampunkannya untuknya dosa-dosa yang telah berlalu.” Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim.

No comments:

Post a Comment